Tuesday 28 April 2020

KISAH ASAL USUL KAMPUNG RUKAM


Kampung Rukam adalah sebuah perkampungan kecil yang terletak di daerah Lundu, Kuching, Sarawak dan majoriti didiami Bangsa Bidayuh Salako. Bangsa Bidayuh Salako merupakan salah satu bangsa yang minoriti di Sarawak. Bangsa ini hanya tertumpu di sekitar daerah Lundu dan mempunyai pertuturan yang unik serta sukar difahami. Kisah ini lebih kepada menceritakan tentang penghijrahan satu keturunan sehingga mewujudkan Kampung Rukam dan bagaimana Kampung Rukam mendapat namanya.

Ceritanya bermula pada anggaran tahun 1870 an dengan sepasang suami isteri iaitu Gali bersama isterinya Ukong yang berasal dari sebuah perkampungan yang kecil di Kalimantan, Indonesia. Mereka merupakan perintis utama kepada jalan cerita ini dan dikatakan mereka berasal dari rumpun bangsa Dayak Salako Rara Indonesia. Sumber pendapatan utama bagi mereka banyak bergantung kepada bercucuk tanam, memburu, menangkap ikan sungai dan menanam padi bukit. Mereka mempunyai 4 orang anak yang masih kecil iaitu tiga orang perempuan dan seorang lelaki. Anak perempuan yang sulung diberikan nama Langkang, manakala anak perempuan yang kedua diberikan nama Dayang, diikuti anak perempuan ketiga diberikan nama Lombet dan akhir sekali anak lelaki yang bongsu diberikan nama Botot. Mereka juga dikatakan pernah berpindah ke Kampung Sungai Ano, selepas itu ke Kampung Batang Air dan kemudian ke Kampung Banbam.(nama-nama perkampungan kecil di Kalimantan, Indonesia)

Mereka juga dikatakan sering berpindah randah hanya semata-mata untuk mencari tanah yang subur untuk menanam padi bukit. Pada zaman dahulu, menanam padi adalah suatu keperluan kerana ianya sumber makanan utama bagi orang-orang kepulauan Borneo. Namun, kebanyakan orang dahulu lebih gemar menanam padi bukit daripada padi sawah. Tetapi kali ini mereka telah bertekad untuk mencuba nasib di tempat yang lebih jauh dari tempat mereka bercucuk tanam terdahulu. Setelah penat merentas gunung ganang, lurah, paya dan sungai, akhirnya mereka sampai di sebuah tempat yang mereka rasakan amat sesuai untuk menanam padi bukit. 

Semasa Gali dan Ukong tengah menebang pokok, tiba-tiba mereka terjumpa sejenis buah hutan yang saiz lebih kurang macam buah pinang. Oleh kerana kelaparan, lalu mereka mengambil keputusan untuk mencuba memakan buah tersebut kemudian memberi sedikit kepada anak-anak mereka. Sejurus kemudian, tiba-tiba sahaja mereka anak beranak merasa haus dan dahaga. Tanpa berbicara panjang, mereka terus bergegas sepantas kilat ke arah sungai yang berdekatan lalu meneguk air sungai tersebut untuk menghilangkan kehausan yang mereka rasai. Tiba-tiba, air sungai yang mereka minum tersebut terasa sangat manis. Maklumlah kehidupan masa tersebut amat kolot, maka mereka merasakan bahawa itu adalah satu keajaiban. Oleh kerana semangat ingin tahu yang membuak-buak di hati mereka, lalu mereka mencuba untuk memasak air sungai tersebut untuk mendapatkan gula yang ada pada air tersebut. Mereka berfikir bahawa kalau air tersebut dimasak sehingga kering, gula akan muncul seperti air laut kalau dikeringkan, garam akan muncul.

Namun segala usaha mereka hanya sia-sia sahaja. Biarpun berkali-kali mereka memasak air tersebut sehingga kering, namun tiada juga gula yang timbul. Setelah melihat usaha mereka tidak mendatangkan hasil, maka mereka mencuba untuk meneguk air sungai tersebut sekali lagi. Malangnya air sungai tersebut berubah menjadi tawar dan tidak seperti awalnya manis. Sekali lagi mereka keheranan, bermacam-macam perkara berlegar di fikiran mereka. Gali berfikir mungkin tempat ini tempat keramat dan perlu dipuja. Maklumlah kepercayaan mereka pada masa itu lebih kepada memuja benda-benda yang pelik dan keramat bagi mereka. Dipendekkan cerita, misteri tersebut akhirnya terbongkar apabila salah seorang anak mereka menjerit mengatakan air sungai tersebut masih lagi manis. Mereka semakin keheranan, bagaimana anaknya sahaja boleh merasa air sungai tersebut berasa manis. Tiba-tiba, Gali baru teringat bahawa dia baru sahaja memberi anaknya makan buah hutan itu sekali lagi. Barulah Gali sedar bahawa buah tersebut yang menyebabkan air sungai yang diminum  menjadi manis. Lalu mereka mengambil keputusan untuk terus menetap di tempat tersebut kerana dirasakan ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Lagipun,tanahnya amat subur dan dekat dengan sungai. Sebenarnya, mereka telah merantau terlalu jauh sehingga dalam tidak sedar mereka telah berada di dalam kawasan hutan tebal Sarawak. Buah hutan tersebut digelar sebagai Buah Pangkok dan mungkin amat sukar untuk orang mengenalinya pada zaman sekarang. Sungai tersebut digelar Sungai Si Danum dan terus menjadi nama bagi tempat tersebut. Sungai Si Danum tersebut berada dalam kawasan Kampung Keranji iaitu salah satu juga perkampungan kecil yang terletak di daerah Lundu, Kuching, Sarawak sekarang. Sehingga sekarang, orang-orang tua di Kampung Keranji tahu mengenai kisah Sungai Si Danum.

Tidak lama kemudian, anak-anak Gali dan Ukong meningkat dewasa. Anak sulungnya yang perempuan iaitu Langkang berkahwin dengan orang salako pribumi Sarawak yang bernama Majang dan mempunyai 8 orang anak. Manakala, anak perempuan mereka yang kedua dan ketiga iaitu Dayang dan Lombet mencari jalan kehidupan masing-masing dan tidak diketahui jalan ceritanya. Ada yang mengatakan mereka sudah berkahwin tetapi tiada zuriat dan ada juga khabar mengatakan mereka telah merantau sehingga hilang begitu sahaja. Anak bongsu mereka yang satu-satunya lelaki iaitu Botot telah berkahwin dengan orang Kampung Pueh yang terletak di Daerah Lundu,Kuching, Sarawak yang bernama Sian dan mempunyai 8 orang anak. Setelah Gali dan Ukong meninggal dunia, cuma anak mereka yang bernama Botot dan Langkang sahaja yang diketahui jalan ceritanya.

Kehidupan nomad diteruskan kembali oleh anak mereka iaitu Botot dan Langkang. Dua beradik tersebut membawa keluarga mereka masing-masing berpindah ke Kampung Sedemak iaitu tidak jauh dari Kampung Keranji. Dua beradik ini juga amat gemar menanam padi bukit dan sentiasa mencari kawasan hutan yang belum diterokai. Setelah banyak kali meneroka hutan, akhirnya mereka sampai di suatu tempat yang amat sesuai untuk menanam padi bukit tetapi kedudukannya agak jauh dari Kampung Sedemak. Oleh sebab faktor jauh dari tempat tinggal, dua beradik tersebut berpakat untuk menetap di tempat tersebut bersama keluarga masing-masing. Pada ketika itu, tempat tersebut belum bernama lagi, Semasa tengah berhuma, tiba-tiba mereka didatangi oleh seorang pemuda melayu yang tidak diketahui asal usulnya dan hanya digelar sebagai Pudin. Namun, kedatangan pemuda tersebut adalah sebagai kawan dan sekadar hendak berbual. Tiba-tiba , Pudin ternampak sejenis buah hutan yang seakan-akan dikenalinya. Namun, untuk mendapat kepastian, dia terpaksa bertanya kepada Langkang dan Botot. Lantas Langkang dan Botot  menjelaskan bahawa buah tersebut digelar Buah Rogak oleh penduduk setempat. Berbeza pula dengan Pudin, dia menyatakan bahawa kalau orang melayu, mereka mengelar buah tersebut sebagai Buah Rukam. Buah tersebut mempunyai batang pokok yang berduri dan boleh dimakan apabila buahnya berwarna kemerahan. Rasanya agak masam dan mempunyai saiz seakan-akan sebiji kopi. 

  Contoh Buah Rukam 

  
Kubur Botot yang merupakan satu-satunya anak lelaki Gali yang meninggal dunia pada 10 Februari 1970 ketika berumur 102 tahun. Beliau dikuburkan di Perkuburan Kampung Sedemak.(Minta maaf kerana ejaan nama tidak tepat di batu nisan. Maklumlah orang dulu-dulu)

Semenjak dari hari itu, lama-kelamaan lekatlah gelaran Buah Rukam pada buah tersebut dan sentiasa menjadi perbualan orang ramai. Entah bagaimana, tempat tersebut lalu mendapat namanya dari buah tersebut dan digelar sebagai Kampung Rukam. Buah tersebut dikatakan sudah pupus di kampung tersebut pada zaman sekarang. Generasi muda pada zaman sekarang memang tiada kesempatan untuk mengenali buah tersebut. Pendek kata, orang yang mula-mula mendiami dan meneroka Kampung Rukam adalah Botot dan Langkang. Semua penduduk yang tinggal di Kampung Rukam sekarang adalah majoriti keturunan Langkang dan Botot. Kisah ini telah diceritakan oleh Kosol pada umur 93 tahun yang merupakan salah seorang anak kepada Botot. Beliau adalah satu-satunya anak Botot yang paling lama hidup dari 8 orang adik beradik bahkan anak-anak Langkang pun dikatakan sudah meninggal dunia kesemuanya. Beliau dilahirkan pada tarikh 18 Ogos 1919 mengikut Kad Pengenalan yang didaftarkan dan telah meninggal dunia pada 30 Januari 2017 pada usia 98 tahun. Hasratnya ingin cerita ini dibukukan dan dapat diketahui oleh semua penduduk Kampung Rukam generasi muda sampai bila-bila kerana beliau percaya manusia akan mati tetapi nama dan sejarah akan kekal selamanya selagi diceritakan. Kisah ini telah ditulis oleh salah seorang cucunya. 


Kosol Anak Botot yang merupakan pencerita utama dalam Kisah Asal Usul Kampung Rukam dan juga anak kepada Botot. Beliau meninggal dunia pada 30 Januari 2017 ketika berumur 97 tahun akibat sakit tua. Beliau telah dikuburkan di Perkuburan Nibong Sebatang yang merupakan sebuah perkuburan baru di Kampung Rukam.
                         


Kawasan perkuburan Nibong Sebatang, Kampung Rukam yang mendapat namanya kerana hanya sebatang pokok nibong yang mula-mulanya hidup di kawasan tersebut. Namun sekarang telah beranak pinak. 


Kosol anak Botot merupakan penyumbang tanah terbesar bagi tapak pembinaan SK Holy Name di Kampung Rukam kerana hasratnya ingin melihat kesemua cucu cicitnya bersekolah. SK Holy Name merupakan satu-satunya sekolah yang ditubuhkan oleh Gereja Anglican di Daerah Lundu. Sekolah ini mula-mula beroperasi pada tahun 1961 dengan mengunakan bangunan Gereja Holy Name, Kampung Sedemak sebagai tempat pembelajaran yang ditadbir oleh Gereja Eppapanie, Kampung Rukam.

Gereja Holy Name di Kampung Sedemak yang digunakan sebagai tempat pembelajaran sekolah pada tahun 1961. Pada ketika itu, Sarawak masih dalam peperangan dengan komunis. 

Memandangkan bilangan murid yang semakin ramai dan ruangan pembelajaran yang sempit, sekolah tersebut terpaksa berpindah ke Kampung Rukam dan ditubuhkan secara rasminya sebagai sebuah sekolah dengan nama SRK (Sekolah Rendah Bantuan) Holy Name pada tahun 1964. Pada awal projek pembinaan sekolah tersebut, hampir keseluruhan kawasan tapak pembinaan sekolah tersebut adalah didermakan oleh Kosol anak Botot. Pada tahun 1996, sekali lagi beliau telah mendermakan tanahnya yang berkeluasan 2 ekar lebih kepada pihak sekolah tersebut. Beliau sanggup mendermakan tanah tersebut asalkan sekolah tersebut kekal dibawah pemerintahan Gereja Anglican untuk selama-lamanya. Beliau terkenal dengan seorang yang sangat bermurah hati mendermakan tanahnya kepada orang kampung yang tiada tanah untuk mendirikan rumah. Beliau bukanlah seorang yang bersekolah tinggi sehingga pernah ditipu oleh anak buahnya sendiri yang bertujuan untuk meminjam geran tanahnya berkeluasan anggaran 5 ekar kemudian terus hilang tanpa berita bersama geran tersebut di luar negara. Sehingga sekarang, tiada sesiapa pun yang tampil untuk menuntut tanah tersebut. 

Keratan Akhbar Borneo Post bertarikh 27 September 1996

   

Pada tahun 2009, nama sekolah tersebut telah ditukar kepada SK (Sekolah Kebangsaaan) Holy Name yang menandakan sekolah tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan namun masih lagi kekal ditadbir oleh Pihak Gereja Anglican sehingga sekarang. 


Pintu masuk ke Sekolah Kebangsaan Holy Name yang terletak di 
Kampung Rukam, 94500 Daerah Lundu, Kuching, Sarawak.

Gereja Anglican ST. Joseph Chapel yang terletak di sebelah pintu masuk sekolah 
yang dibina pada tahun 1983.


Perkarangan Sekolah Kebangsaan Holy Name.

Sebuah dewan kepunyaan pihak sekolah dan dinamakan sebagai Dewan Kasol
sebagai tanda memperingati jasa beliau terhadap sekolah tersebut. 

hall
Dewan Kasol tersebut dibina pada tahun 2016. Kebanyakkan orang lebih mengenali beliau dengan nama Kasol berbanding Kosol seperti yang tertera di dalam kad pengenalan beliau.


Semoga Kisah Asal Usul Kampung Rukam ini dapat  disampaikan terus menerus ke generasi muda pada masa kini terutama golongan muda mudi di Kampung Rukam agar dapat mengetahui sedikit sebanyak dari mana asalnya nama Kampung Rukam tersebut. Sekian, terima kasih.





No comments:

Post a Comment